PELANCARAN PAKEJ HAJI 1446H - ANDALUSIA TRAVEL & TOURS SDN.BHD.


Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menawarkan sebanyak empat pakej haji 1446H/2025M bermula serendah RM43,990 sehingga tertinggi RM102,990 bagi mereka yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Empat pakej itu membabitkan Marsa, Malak, Olayan dan Safwah dengan tempoh 40 hingga 45 hari mengerjakan haji.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, berbanding tahun lalu, pihaknya hanya menawarkan tiga pakej iaitu Malak, Olayan dan Safwah.
"Sebelum ini kita ada tiga pakej sahaja iaitu Malak, Olayan dan Safwah, tetapi untuk mereka yang mengerjakan haji tahun hadapan, kita ada empat pakej iaitu dengan penambahan pakej Marsa.
"Ini kerana kebetulan kita mendapat hotel yang ditawarkan pada harga kita mampu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pakej Haji Andalusia 1446H/2025M di ibu pejabatnya itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md Daud berkata, semua pakej yang ditawarkan itu juga tidak mengalami peningkatan harga.
"Tahun lepas kadar terendah kita RM44,900 tetapi sekarang ini jadi RM43,990. Ertinya kira-kira lima peratus lebih rendah berbanding tahun lepas.
"Sedangkan kalau ikut agensi pelancongan, mereka memohon kepada pihak berkuasa untuk meletakkan pada harga RM55,000 disebabkan kos yang telah meningkat.
"Namun, Andalusia masih lagi berpegang kepada harga yang kita mampu iaitu RM43,990," katanya.
Dari segi jumlah bakal jemaah yang bakal dibawa, Md Daud menyatakan pihaknya tidak dapat memberikan angkanya disebabkan ia tertakluk kepada pemakluman daripada Tabung Haji (TH).
"Jumlah yang kita memohon kalau boleh nak 1,000 orang tetapi kita tak boleh nak cakap berapa ramai disebabkan pemberian (jumlah jemaah) bergantung kepada kelulusan diberikan oleh TH.
"Nak akhir-akhir baru kita boleh dapat tahu berapa yang kita dapat," katanya.
Beliau menambah, pendaftaran pakej itu bermula pada hari ini sehingga selepas bulan Ramadan tahun hadapan.
Menurutnya, mereka yang mendaftar pakej awal juga bakal memperoleh diskaun bergantung kepada empat pakej itu.

Katanya, bagi mereka yang mendaftar awal untuk pakej Marsa dan Malak berpeluang memperoleh diskaun sebanyak RM1,500 seorang, Olayan RM2,000 dan Safwah RM3,000.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/12/1169068/andalusia-tawar-empat-pakej-haji-bermula-harga-serendah-rm43990

Comments

Popular posts from this blog

PENGURUSAN RAUDHAH WANITA DI MADINAH

AHLAN WA SAHLAN | SELAMAT DATANG KE ANDALUSIA TRAVEL CAWANGAN KUALA LIPIS